Khamis, September 11, 2008

Lebih Baik Diam


Kadangkala, dek kerana kepenatan teramat disebabkan tuntutan kerja yang tidak henti-henti, badan saya seolah memberi isyarat supaya berdiam diri. Dan kerana kepenatan teramat ini juga menjadikan saya cenderung untuk marah. Mungkin ia disebabkan kerana saya memaksa diri menahan rasa penat dan lenguh badan. Demi menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan, saya gagahi jua.

Tengahari semalam satu perjumpaan tenaga pengajar tingkatan 3 bersama pegetua telah diadakan di Bilik Mesyuarat Sri Bakawali. Selain membuat post mortem keputusan peperiksaan Percubaan PMR, Pengetua meminta guru-guru untuk lebih berusaha meningkatkan peratus kualiti kelulusan. PK1 pula menyeru guru-guru lebih prihatin di dalam pengurusan soalan set latih tubi mengikut perancangan optima yang telah diselaraskan.


Tanpa saya menjangka, rupa-rupanya ketidakhadiran saya disebabkan keracunan makanan pada Isnin minggu ini menjadi kontroversi. Ini kerana semasa ketiadaan saya, Pk1 telah menggantikan kelas saya iaitu 3 Melati ( 30 minit) dan 3 Kemboja (60 minit). Yang dipersoalkan ke mana hendak di cari soalan set latih tubi semasa ketiadaan saya. Yang saya hairankan mengapa hendak diteruskan dengan set lain sedangkan saya telah terlebih dahulu memberitahu set kertas 2 itu hendaklah diteruskan ketika mana-mana guru tiada di dalam kelas. Atau mesej kepada pelajar masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan?


Panitia Bahasa Inggeris terutama guru-guru tingkatan 3 telah bersama-sama menyediakan set latih tubi dan ia berjalan dengan baik. Sebagai guru yang mementingkan aras pemahaman pelajar, saya tidak bercadang untuk membuat set kertas 1 kerana masih melatih tubi pelajar cara menjawab kertas 2 iaitu penulisan. Pada saya kualiti perbincangan sangat diambilkira pada waktu-waktu puncak begini. Mengapa perlu lambakan soalan demi soalan sekiranya pelajar tidak didedahkan tips menjawab melalui perbincangan maka dengan itu pelajar akan mengetahui apa yang mereka jawab salah atau betul.

Saya bersetuju dengan pendapat Puan Hajjah Mazliana bahawa kita terlalu menjaga kertas soalan berbanding menjaga pelajar.
Hati saya bagai larva gunung berapi, menunggu masa untuk meledak. Hanya kerana saya terlalu penat seharian, saya memilih untuk berdiam diri. Pagi ini saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana kepenatan saya semakin hilang berbanding semalam. Tenaga keupayaan dapat dicas. Orang kata lebih baik diam bila marah..

Muhasabah diri(untuk diri sendiri)
1. Kualiti pelajar mesti diutamakan dan bukannya lambakan soalan demi soalan tanpa perbincangan.
2. Saya mesti menampal nota peringatan kepada pelajar dan guru ganti di dalam kelas - tentatif perancangan set latih tubi.
3. Jangan mudah menilai dan menghukum seseorang tanpa menyiasat perkara sebenarnya.
4. Jangan riak dan takbur jika anda sihat. Belum tiba waktu anda sakit lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Solat Cara Nabi s.a.w