Rabu, Ogos 27, 2008

Kembali Tersenyum


Bila kita ceria, bunga-bunga dan dedaun di sekeliling kita seperti tersenyum bersama. Semalam saya tidak ceria seperti hari ini. Bila saya kembali tersenyum, saya rasa saya sentiasa diperlukan di tengah-tengan manusia yang ramai.
Entah keanehan apa yang saya rasa hari ini ataupun mungkin hormon gembira sedang riang ria di dalam diri saya tetapi yang pasti keprihatinan rakan sejawat Puan Hajah Mazliana, Puan Zuraida, Puan Kartini, Puan Norisya, Puan Ramlah, Puan Anita, Encik Jamil, Puan Norizan, Puan Nor Asmah bertanya khabar membuatkan saya rasa begitu dihargai dan diperlukan. Dan ia membuat saya kembali tersenyum. Ketika saya sedang menjalankan ujian "Closest In Meaning" untuk pelajar-pelajar 1 Dahlia, saya menerima SMS daripada mantan Pengetua SEMEKAR, Puan Nik Hasmah Nik Mohamed. Hairannya, beliau juga turut mencari saya dan bertanya sama ada saya sudah semakin sihat. Begitu juga dengan Puan Zubaidah. Tiba-tiba saya terbayang senyuman Ketua Bidang Bahasa, Puan Haslina. Apa khabar kak Has? Semoga semakin sihat. Saya tahu kakak saya ini sedang mengecas tenaga keupayaan untuk kembali pulih sepenuhnya seperti yang dicatat di ruangan maklumbalas blog saya. Terima Kasih.

Dalam pada itu, dengan penstrukturan semula bilik guru saya seperti tercampak jauh dengan "partner in crime" saya, Puan Ramlah. Sekalipun terpisah, kami masih mampu pandang-pandang, jeling-jeling dan boleh sahaja membicarakan hal-hal kehidupan sambil menguntum senyuman. Puan Norseha bertanyakan pendapat saya seawal pagi sama ada saya gembira dengan kedudukan meja saya sekarang ini. Ada rakan sejawat yang multi level marketing, "gila ICT" seperti saya juga dan informatif bab-bab bahasa. Dan saya bertambah gembira sekiranya Puan Ramlah turut serta tapi tidak apalah yang penting kami boleh berkomunikasi tanpa sempadan di mana-mana jua.( macam iklan telekomunikasi je..)

Saya masih lagi di dalam peringkat akhir menanda skrip kertas percubaan 3 Kemboja. Tadi semasa kelas memburu bintang, hati saya tersentuh sekejap dengan salah seorang seorang pelajar yang dekat di hati saya, Fariza Shuhaika. Saya menanda kertas di depan sekumpulan pelajar ini. Pada permulaannya, saya tidak perasan saya tidak memberi markah pada perkembangan ayat perenggan pertama di dalam penulisan karangan sehingga apabila pemarkahan dikira, ia menjadi gagal. Pelajar ini seorang pendiam tetapi sangat rajin, pandai mengambi hati dan sentiasa patuh arahan guru, cuma yang penting beliau harus dedikasi kerana bahasa perlu dipraktikkan setiap hari.

Disebabkan kesalahan mengira markah secara tidak sengaja dan apabila mengetahui markah tidak seperti diharapkan lalu akhirnya berderaian juga air mata pelajar ini. Setelah saya semak kali ketiga, saya pun memanggil dan menjelaskan kepada beliau bahawa kini markah baru itu pula bukanlah markah kasihan tetapi adalah markah sebenar setelah dikira semula. Kadang-kadang saya terfikir sama ada saya sangat tegas( tiada belas kasihan) apabila menanda skrip jawapan pelajar saya. Namun bila saya fikir semula, saya rasa tindakan saya betul. Saya tidak pernah memberi markah kasihan kerana dengan itu ia membantu pelajar menaikkan prestasi di kemudian hari. Lagipun markah kasihan itu secara total bukanlah mencerminkan kebolehan sebenar kita. Kasihan boleh tetapi biarlah bertempat.

Saya memohon maaf. Fariza mencium tangan saya. Akhirnya perlahan-lahan dia kembali tersenyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Solat Cara Nabi s.a.w