Sabtu, Oktober 25, 2008

Mencari-Cari


Saya ingin menekankan, tujuan saya menulis di sini bukan sesekali untuk mencari populariti diri sebaliknya saya yang memang gemar menulis suka meluahkan apa yang saya rasa, lihat dan buat di ruangan Mata Hati, tidak lain, tidak bukan untuk muhasabah diri. Terima Kasih kepada mereka yang memberi kata-kata semangat dan melalui cara ini juga , saya akan dapat membina barisan sahabat-sahabat yang saling ingat mengingatkan.

Satu dua hari ini, saya rasa sedikit marah dengan diri saya. Di benak saya sentiasa mencari-cari jawapan terutama ketika separuh tidur dan umumnya ketika hampir melelapkan mata. Hati saya dipasak dengan soalan-soalan pembawaan diri. Ia menjurus mengapa saya lemah, tidak berdaya untuk mengingati Allah dalam setiap inci perkara yang saya lakukan. Saya mempersalahkan diri saya, yang seperti tidak ada inisiatif untuk membuat amal dan menambah ibadah selepas ramadhan berakhir. Mengapa saya tidak kuat? Mengapa saya lalai dan leka? Namun yang paling saya tidak tahan sekali, adalah desakan hati untuk mengunjungi Baitullah sekali lagi. Berulang-ulang saya nyatakan kepada suami, saya ingin sekali ke sana, saya rindu dan rasa rindu itu membuatkan saya bergenang air mata.

Dek kerana keinginan saya ke sana dan makin kuat, semalam saya menghantar SMS kepada Puan Hajah Norseha dan Puan Norakmar. Kepada Puan Norseha yang memang berkaliber di dalam penganjuran rombongan ke mana-mana, saya cadangkan supaya Kelab Warga menyusun tentatif untuk ke Mekah walaupun saya tahu ia tidak semudah yang disangka. Kepada pasangan bahagia Puan Norakmar dan Encik Azizul, semalam saya seperti bermimpi atau mainan perasaan sahaja? (saya tidak pasti), saya seperti terbayang Puan Norakmar dan Encik Azizul siap berpakaian ihram dan menunggu di KLIA sebaik saya bangun. Pagi tadi sementara menunggu solat hajat bermula di dewan, itulah yang saya nyatakan kepada Puan Norakmar. Amin.
Malam tadi, melalui Google Earth, suami saya menunjukkan pandangan satelit seluruh dunia termasuklah SEMEKAR, kawasan rumah kami dan tempat kerja suami. Saya minta suami menunjukkan pandangan satelit Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Seperti kembara di dalam cerita Voyager dulu-dulu, kami terpempan sekejap. Saya jadi begitu sebak apabila di depan mata menyaksikan teknologi internet dengan kepantasan berganda membuat fokus jarak dekat Masjidil Haram. Subhanallah....Saya menangis kerana saya terlalu ingin ke sana dan rasa ini begitu kuat sekali. Ya Allah perkenankanlah doa saya untuk ke sana.

Muhasabah diri:
Saya sangat lemah. Meminta padaNya tetapi tidak bersungguh-sungguh. Amalan saya sangat sedikit. Namun keampunan dariNya saya pohon setiap hari. Berilah kerahmatanMu Ya Allah, PetunjukMu Ya Allah. Jauhkanlah saya dari terleka.........................!

2 ulasan:

  1. teacher.my neu account ;))

    BalasPadam
  2. :)
    alhamdulillah...


    assalamualaikum warhmatullah, sampaikan salam jua kepada suami :)

    terima kasih,
    zul rahman

    BalasPadam

Solat Cara Nabi s.a.w