Isnin, Oktober 20, 2008

Tidak Senang Duduk

Tidak Senang Duduk 1
Barangkali ungkapan pungguk rindukan bulan amat bertepatan dengan diri saya yang telah sekian lama tidak menitip sesuatu di ruangan Mata Hati. Termasuk hari ini, selama 21 hari saya tidak menulis dan keluh resah saya hanya Allah sahaja yang tahu dan hari ini saya bersyukur kepada Allah, kerana saya dapat menulis sesuatu. Bukankah, kalau tidak diizinkan-Nya maka sehingga sekarang saya masih berkeluh resah seorangan? Sebaik pulang semula ke rumah setelah menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada 5 Oktober, saya dapati modem streamyx saya tidak berfungsi akibat disambar petir. Bila dilaporkan kerosakan, mereka hanya datang menggantikan modem baru pada 16 0ktober. Bayangkan!. Saya rasa separuh urusan kerja saya tergendala begitu sahaja. 'Hai rindunya' nak menulis kembali.
Tidak Senang Duduk 2
Mungkin ada hikmahnya juga, kerana saya dapati selama dua minggu inilah juga saya memberikan sepenuh perhatian malah lebih dari biasa kepad pelajar-pelajar saya yang akan menduduki PMR. Inilah sahaja cara paling mujarab iaitu mendekati mereka-hati ke hati supaya mereka sentiasa bersemangat untuk mendapatkan markah sebaik mungkin di dalam subjek Bahasa Inggeris. Beberapa hari sebelum peperiksaan, saya dapati beberapa pelajar yang hatinya sekeras batu kerikil, yang selalu ponteng dan tidak bersungguh-sungguh akhirnya menitis juga air mata apabila bersalaman dengan saya.

Pada hari selasa ( 13 Oktober) peperiksaan Bahasa Inggeris berlangsung, hati saya rasa lebih tenang berbanding tahun sebelumnya. Ketika saya meronda di kesemua empat pusat peperiksaan dan kerana saya juga guru bertugas, mereka sempat memandang saya dari jauh dan terpancar riak-riak gembira wajah beberapa pelajar 3 Melati dan 3 Kemboja . Sebaik selesai kertas 2, mereka meluru dan menunjukkan soalan- kesemuanya adalah apa yang telah dibincangkan. Saya bersyukur tetapi tidak berani mengulas lanjut selagi keputusan belum diumumkan. Biarlah..yang penting saya telah berusaha sehingga ke akar umbi.

Tidak senang duduk saya berakhir apabila modem telah dapat diperbaiki akhirnya dan yang lagi penting soalan yang saya telah bincangkan beberapa kali bersama pelajar selama setahun ini diuji sekali lagi di dalam peperiksaan PMR baru-baru ini. Saya doakan mereka berjaya.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Solat Cara Nabi s.a.w