Ahad, November 30, 2008

Sahabat Lama


Minggu terakhir sepanjang kesibukan menghabiskan kerja-kerja rutin sebelum tamatnya sesi persekolahan, saya menerima panggilan daripada seorang sahabat lama, Hezreen Mazura Jamil. Saya begitu teruja dan mahu sahaja menjerit kerana kami dapat berhubungan kembali setelah terputus hubungan sejak 10 tahun yang lalu. Jeritan dapat saya kawal dengan baik kerana saya berada di bilik guru. Bayangkan di rumah, Hezreen.
Hubungan kami sebagai sahabat bermula sejak di ITM (Uitm) Melaka dan kehidupan kami mempunyai rencah rasa yang pelbagai daripada yang gila-gila hinggalah kepada yang serius. Kami berempat,satu bilik. Kehidupan saya yang berperang dengan segala kepayahan keluarga ketika itu menjadikan saya bahagia dan mewah bila berada di bilik kami yang diklasifikasikan sebagai 4 bintang. Teman sebilik yang dua orang lagi telah terputus hubungan sehingga sekarang.
Airmata ada kalanya menjadi teman setia saya dan Hezreen. Bila saya sedih, Hezreen memberi semangat dan begitulah sebaliknya. Sesuatu yang menarik tentang Hezreen ini, beliau mempunyai gerak lasak dan suara yang sesuai untuk menjadi komander. Namun volume komander itu mungkin menjadi semakin kurang setelah berumahtangga dan mempunyai 3 anak.
Kawan mungkin ada dimana-mana tetapi sahabat bukan sahaja berada di mana-mana malah sentiasa ada bila kita memerlukannya. Walaupun 10 tahun tidak berjumpa, telepati dan firasat hati begitu kuat untuk dipertemukan semula. Satu lagi saya akui keunikannya menjadikan sukar mencari sahabat seperti Hezreen Mazura ini. Saya menunggu satu masa yang sesuai untuk berjumpa beliau. Bila Hezreen?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Solat Cara Nabi s.a.w