Ahad, November 23, 2008

Senyum di Langkawi


Ketika saya ingin memulakan sesuatu di ruangan ini, hati saya berasa sedikit berdebar. Kalau dihitung, banyaknya peristiwa yang telah berlangsung dua minggu sebelum sesi persekolahan melabuhkan tirai sehingga sekarang, tidak tergambar betapa banyaknya. Saya ingin bercerita yang manis dahulu.
Berbaloi juga susah payah dan tekanan sepanjang tahun tidak termasuk terjahan mental sebagai guru bahasa Inggeris dan Guru Tingkatan Kelas Rancangan Khas Tingkatan 2 Raflesia. Ini kerana saya menjadi begitu teruja apabila saya menerima tawaran bersama Puan Suzana, Puan Azziah dan Puan Nor Akmar untuk mengikuti kursus Penandaarasan KRK di Negeri Kedah Darul Aman. Apalagi, segala kerja merekod dan memasukkan markah, menutup buku kedatangan Pelajar dan pengurusan markah tingkatan menjadi begitu efisyen dan berjaya dihantar sebelum tarikh yang sepatutnya. Saya berfikir-fikir sendirian dan berazam tidak akan tergoda dengan pinggan mangkuk dan segala keperluan dapur yang sewaktu dengannya sebaik menjejakkan kaki ke Langkawi nanti.
Rombongan kami seramai 26 orang yang kesemuanya guru KRK tiba di Hotel Langkasuka jam 10.30 pagi. Saya mula rasa sedikit mengantuk kerana semalaman berada di dalam bas, saya bersama Puan Suzana asyik masyuk bercerita hal-hal sekolah hinggalah hal-hal dunia. Manakala Puan Azziah dan Puan Nor Akmar, saya lihat mereka bersunyi sepi sepanjang perjalanan malam itu sebelum sampai ke Gurun Kedah. Ia benar-benar dimanfaatkan sepenuhnya untuk tidur. Saya dan Puan Suzana langsung tidak mengantuk.
Hebat juga pemandu Kiffah Travel, Encik Syafiq kerana kami sampai di Gurun jam 4 pagi. Pemanduan berhemah dan cara beliau menjaga penumpang wajar dipuji kerana beliau turut membantu menyusun atur bagasi -bagasi besar dengan begitu sistematik. Yang paling mengejutkan, rombongan cik Kiah meneruskan acara mengelilingi pulau jam 2.30 petang. Semasa menaiki bot mengelilingi Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan satu lagi pulau yang saya tidak pasti namanya, saya amat terpesona dengan keindahan ciptaan Allah swt. Sepanjang perjalanan, sekali sekala Puan Azziah memegang saya kerana sekali sekali aluan ombak menjadikan bot tidak stabil. Saya lihat Puan Nor Akmar seperti seorang VIP kerana gaya duduknya yang begitu terletak di atas bot. Bila saya tanya, rupanya Puan Norakmar memberitahu deruan ombak kiri kanan sedikit pun tidak mengganggu penumpuannya untuk tidur lena. Atas bot lagi.... dan bukan semua orang ada kemahiran seperti itu. Kami pulang jam 5.30 petang.
Malam itu ketika di bilik persidangan Merpati Tingkat 2, rata-rata guru yang ada di bilik persidangan termasuklan saya tidak dapat memberi penumpuan taklimat dari Encik Ahmad dari PPD Gombak. Ini kerana keletihan tidak dapat disorokkan dan keletihan ini membuatkan saya dan beberapa rakan lain tertidur stail Puan Nor Akmar.
Hari kedua, selain membeli sedikit minyak gamat, beberapa helai kain batik sarong dan coklat kegemaran Hersheys Almond dan Daim selain melunaskan kiriman rakan-rakan, ada dua insiden yang saya tidak boleh lupa. Insiden saya sakit perut setiap kali menjejakkan kaki ke Langkawi dan godaan besar terhadap pinggan manguk Idaman Suri menjadikan Langkawi sentiasa mendapat tempat dalam 3 senarai teratas destinasi wajib lawat.
Satu lagi, kami rombongan cik Kiah SEMEKAR ni memang sentiasa teruja dalam apa juga yang dilakukan. Ini terbukti apabila kami mencari pakaian sesuai untuk dipakai ketika Majlis jamuan Akhir Tahun 2008. Memuji sana sini berbakul-bakul sebab memang cantik tetapi bila dah dicuba asyik tidak jadi membeli.
Walaupun sentiasa sakit perut setiap kali sesi lawatan ke Langkawi berakhir , saya tidak pernah serik malah semakin lebar senyuman setiap kali terkenangkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Solat Cara Nabi s.a.w