Selasa, Julai 07, 2009

Iltizam


Banyak perkara baru yang saya pelajari sepanjang kursus intervensi 2, khas untuk penerima biasiswa tajaan pendidikan Kementerian pelajaran Malaysia di Selesa beach Resort, Port Dickson minggu lepas. Kursus ini mendedahkan kepada saya apa yang perlu saya sediakan sebagai pelajar sarjana merangkumi kaedah kuantitatif, kualitatif, kerangka konsep, SPSS, isu-isu pendidikan di Malaysia, kerja kursus, kaedah penyelidikan, thesis yang akan dibuat dan lain-lain. Ketika di PD saya sempat bersembang dengan rakan seangkatan yang datang dari seluruh pelusok Malaysia yang berlainan jurusan. Mengikut data hanya 231 orang layak mengikuti program ini setelah disaring melalui syarat ketat daripada lebih kurang 2400 orang permohonan.

Saya bukan sesekali hendak berbangga diri tetapi lebih kepada muhasabah diri. Saya tidak dapat membayangkan betapa banyaknya dugaan dan cabaran yang amat menyakitkan sejurus sebelum saya diumumkan berjaya. Bagi orang di luar sana, mereka mungkin kurang memahami mengapa ia begitu signifikan di dalam kehidupan saya.

Saya telah lama sangat mengimpikan untuk menyambung pengajian namun kekangan yang besar yang saya tempuhi memaksa saya melupakan cita-cita ini seketika. Bagi sesetengah orang, ayat yang menyatakan, belajar semua orang boleh belajar itu pendapat kabur yang tidak menyedari kepentingan ilmu. Soalnya benar semua boleh belajar tetapi adakah kita boleh menyahut cabaran untuk menyempurnakannya dengan penuh tanggungjawab dan iltizam sehingga memperoleh keputusan cemerlang?

Jika kita pernah tersedar tentang pernyataan di dalam satu surah al-Quran, bahawa kita sangat digalakkan menuntut ilmu kerana dengan ilmulah Allah meningkatkan darjat dan taraf pemikiran yang seharusnya dapat melorongkan diri untuk mengenal kaca dan intan.

Pada masa yang sama, saya selalu mengingatkan diri saya, bahawa kejayaan ini adalah datangnya dari keizinan Allah. Saya sentiasa ingat bila kita ikhlas melakukan sesuatu dan membantu selagi terdaya, rezeki yang Allah anugerahkan sangat berlipatkali ganda dan tidak semestinya dalam bentuk kewangan.

Sama ada siapa kita yang sebenarnya, dan bekerja sebagai apa jua, kita akan terus diberkati Allah selagimana kita meniatkannya kerana Allah. Alhamdulillah, saya bersyukur sebesar-besarnya dan saya sedia maklum akan besarnya cabaran mendatang selepas ini. Saya mohon Allah permudahkan urusankehidupan saya

Bayangkan untuk berusaha yang terbaik, ada sahaja halangan dan rasa-rasa kepedihan yang muncul sehinggalah saya pulang dari PD. Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Solat Cara Nabi s.a.w