Isnin, Julai 06, 2009

Jun Satu Permulaan


Sudah beberapa minggu berlalu sejak 15 Jun 2009. Saya mengajar di sekolah baru berhampiran rumah. Namun saya pasrah apabila permulaan hari baru saya sedikit terkesan dengan batuk dan sakit tekak sejak pulang bercuti dari Kelantan. Mungkin kerja yang tidak henti-henti selain mengemas barang-barang di sekolah sebelumnya membuatkan saya kepenatan teramat.

Hari kedua dan ketiga saya tidak boleh mengajar langsung kerana suara tidak keluar dan badan umpama bateri lemah. Saya mempersoalkan diri saya malah turut memaksa untuk mengajar walaupun sedari awal saya tahu saya tidak mampu berbuat demikian. Saya berjumpa doktor dan doktor menasihatkan saya berehat di rumah selama 2 hari. Wah!! berehatlah saya semahunya pun tetapi tidak dapat menipu diri otak ligat berputar.

Pada hari saya hampir tidak berdaya untuk bangun, saya gagahkan diri untuk membuka laman web Kementerian Pelajaran Malaysia. Dengan lafaz bismillah, saya memasukkan nombor kad pengenalan untuk menunggu sama ada saya lulus temuduga Hadiah Latihan Persekutuan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menyambung pengajian MASTERS( sarjana). Sambil menahan rasa kepenatan saya berbisik sendirian, dapat atau tidak itulah ketentuan Allah, Dia dah pun susun dan itulah yang terbaik.

Tahniah..Anda Lulus Temuduga.... . Alhamdulillah. Saya dapat akhirnya. Saya mengucapkannya berulangkali, berulangkali bersama sebutan Terima Kasih Allah. Saya sujud syukur. Saya menghantar mesej kepada orang terdekat menyedari suara tidak keluar malah sakit tekak pula.

Mak saya sebaik mengetahuinya di Seremban menyatakan beliau akan berpuasa sunat kerana kejayaan ini. Saya pun berulangkali mengucapkannya kepada mak bahawa kejayaan anak mak ini kerana doa mak juga., berulangkali.

Jun permulaan kepada penghidupan baru, selamat tinggal kesedihan lama!. Ia akan terpahat dalam sejarah ingatan. Mulakan langkah baru untuk berjaya dengan cemerlang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Solat Cara Nabi s.a.w