Khamis, Disember 17, 2009

Doa Seminggu Lepas

Ustaz Fauzi dan Puan Fauziah Omar
Anak-anak rumah Kebajikan Ehsan Ash-Shakur

Saya selalu mendoakan orang di sekeliling cuma konteks doa dan bagaimana ia dilakukan adalah berlainan. Walau bagaimana pun, satu-satunya doa tanpa gagal adalah mendoakan kesejahteraan kedua-dua orang tua saya. Saya bersama Mister saya telah mengadakan sedikit kenduri kecil iaitu tahlil untuk arwah ayahanda saya dan doa selamat sempena pengajian master saya di UPSI pada hari ini seminggu yang lepas. Kenduri kecil itu dibuat selepas Isha', khamis malam jumaat dan jemputan adalah jiran dan rakan terdekat rumah. Alhamdulillah, saya dan Mister juga berkesempatan menjemput anak-anak rumah kebajikan Ehsan Ash -Shakur yang berhampiran, sesuatu yang telah lama saya ingin lakukan.
Doa selamat ini membawa banyak maksud di dalam kehidupan kami dan ia adalah salah satu indikator syukur kami kerana kurniaan dan hikmah kehidupan yang tidak terhingga. Namun yang paling menyentuh hati saya adalah ketika melayani anak-anak rumah kebajikan bersama tetamu menjamu selera. Kenduri kecil kami didatangi oleh tetamu jemputan sepasang suami isteri yang sangat istimewa di hati saya. Beliau ini adalah Puan Fauziah Omar yang juga rakan sekerja saya di sekolah lama dan suami beliau Ustaz Fauzi. Bagaimana hendak dibalas budi baik rakan sekerja saya ini, yang membimbing sekaligus memberi pelbagai tips dan dorongan supaya saya berjaya di dalam temuduga dan proposal penyelidikan? Saya sentiasa mendoakan beliau kerana budinya tidak terbalas. Hanya Allah Yang mampu membalasnya.

Kami bercerita dan bertukar pendapat tentang pengajian dan kehidupan. Banyak nasihat yang saya sematkan dalam-dalam. Dan di sini kemuncaknya. Saya berusaha menahan air mata tetapi tidak tertahan juga. Di khalayak ramai, ustaz Fauzi mendoakan kesejahteraan sambil mengangkat tangan memohon doa kejayaan pengajian saya sambil saya dan Puan Fauziah meng aminkan bersama-sama. Detik itu dirasakan begitu signifikan. Sebak kerana tidak terjangka saya didoakan begitu dan gembira kerana terasa begitu diberkati sekali.
Kepada semua tetamu jemputan yang sudi meluangkan masa, saya dan Mister( terima kasih kerana bertungkus lumus ) saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak termasuk kepada keluarga mertua dan kepada pasangan suami isteri Puan Fauziah dan Ustaz Fauzi saya doakan kesejahteraan dunia akhirat. Jutaan Terima Kasih. Moga saya dapat menyempurnakan pengajian dengan lancar. Mohon dipermudahkan olehNya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Solat Cara Nabi s.a.w