Selasa, Disember 22, 2009

Komitmen


Komitmen saya untuk sedaya upaya mendapat yang terbaik meluap-luap. Sekali pun badan agak lemah dan rongga hidung tersumbat kerana penangan selsema, saya gagahi juga ke kuliah. Lewat petang kelmarin saya memandu tetapi dengan senario berbeza. Pertama, saya tidak begitu berdaya, kedua fikiran saya melayang dan rasa sebak yang entah dari mana datangnya muncul tiba-tiba. Ia berterusan dan sesekali rasa itu memberi kesan kerana saya kehilangan sedikit fokus. Mengapa saya begini, saya berbisik. Fikiran saya muncul dengan teori demi teori. Mungkin saya kurang sihat kerana penangan selsema, saya berbisik lagi.

Daya tumpuan saya terkesan sedikit. Ia terbukti, apabila saya boleh pula membuat keputusan untuk mengikut jalan jauh ke kuliah, jalan yang tidak pernah atau tidak berani saya lalui. Puncanya kerana stesyen minyak S yang berhampiran telah kehabisan minyak dan saya seperti terleka mencari stesyen minyak seterusnya sehingga saya akhirnya menyedari saya telah jauh terlajak. Kalau aku U turn ni, minyak tak dapat dan jalan sangat sesak. Silap haribulan...? Kenapa aku pandai sangat ni..." saya memarahi diri saya.

Saya dengan nekad berkata saya mesti sampai ke tempat kuliah. Tanpa makan malam akhirnya saya dengan penuh komitmen selama 3 jam mendengar apa yang pensyarah ajar. Namun saya rasa kurang selesa pula kerana tidak dapat memberi pendapat dengan aktif kerana selsema. Malamnya saya menumpang tidur di rumah rakan sekuliah. Rasa sangat tidak selesa dan kalau boleh ingin sahaja tidur awal tetapi menghormati tuan punya bilik yang baik hati, kami meneruskan perbualan menjangkau 1.30 pagi. Malamnya juga saya menyusun jadual, supaya keesokannya saya dapat menyiapkan tugasan pertama di mana kami akan membuat persembahan ulasan jurnal pada jam 8 malam. Jadi saya menghabiskan masa dari jam 10 pagi hingga 6 petang membuat tugasan. Tiba-tiba ketika hendak menunaikan solat asar, saya mendapat khidmat pesanan ringkas "Kelas Encik S malam ini dibatalkan". Saya terdiam sejenak dan fikiran terus menerawang paling pantas melihat maksud komitmen dalam ruang lingkup berbeza.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Solat Cara Nabi s.a.w