Jumaat, Ogos 28, 2009

Sayangi Saya

Saya pulang dari masjid dengan kepuasan maksimum hari ini. Pertama kerana saya telah dapat menyempurnakan tahlil untuk allahyarham ayahanda tercinta bersama-sama jemaah masjid dan kedua saya dapat meyempurnakan terawih dengan merasai rahmat Allah setiap penjuru, setakat Ramadhan ke 7 ini. Moga-moga rahmat ini akan dirasai sehingga bila-bila. Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Ustaz di dalam tazkirah Ramadhan sebaik selesai terawih dan tahlil membuat kias ibarat tentang taqwa. Ia seumpama seorang guru yang mengajar pelajar tidak cerdas yang markahnya antara 0-39 per seratus tetapi pelajar itu pada masa yang sama baik budi pekertinya. Maka pelajar tadi sekalipun menyedari dirinya tidak bijak, dia mempunyai budi pekerti yang baik, dengan mengambil contoh, akur dan sentiasa memastikan berada di dalam majlis ilmu, membantu membawa beg guru dan bukunya sekalipun tidak dipinta dan mendengar tanpa jemu. Maka guru itu pun tergerak hati memberi markah bonus sehingga pelajar itu lulus dari 39 kepada 40. Itu guru, manusia biasa yang pengahirannya tetap hamba Allah.

Bagaimana dengan Allah yang memang Maha Pengampun? Dia pun boleh memberi markah bonus dengan keizinanNya. Mohonlah rahmat Allah,tanpa jemu seperti pelajar tadi; dengan berusaha melakukan segala suruhan dan meninggalkan apa yang dilarang Allah, kata ustaz. Sekalipun kita tidak bijak dan banyak dosa, jika kita berusaha mendekatiNya dengan penuh ikhlas, tanpa jemu dan taqwa, insyaAllah kita akan diberi rahmatNya. Ia datang kepada siapa yang meminta. Saya mohon rahmatNya sungguh-sungguh. Saya tahu dan yakin Allah menyayangi saya. Sayangi saya.. Allah, jangan saya terjauh dari kasih sayang itu. Amin.

Alangkah indahnya jika saya menghabiskan masa di masjid pada bulan-bulan lain juga. Saya sedang merenunginya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Solat Cara Nabi s.a.w