Kisahnya begini. Tadi kami berhenti untuk solat maghrib di sebuah surau di kawasan perumahan di One Utama. Melihat dari kemudahan tersedia surau itu, saya memerhati terdapat CCTV di pondok pengawal laluan masuk dan wifi. Ia tersedia untuk kegunaan jemaah. Menghampiri waktu maghrib, saya terus mengambil wuduk. Tidak lama selepas alunan azan dilaungkan, saya bersiap-siap untuk berjemaah. Namun ketika sedang bersedia berjemaah, saya didatangi seorang jemaah bertudung litup, berjubah hitam. Melihat dari pakaiannya yang berlitup sepenuhnya, saya meneka jika beliau berasal negara Timur Tengah. Terharu saya apabila anaknya menghulur tangan untuk bersalam. "Cantiknya orang ini." ,saya berbisik apabila beliau membuka purdah yang hanya menampakkan mata sebelumnya. Sebaik imam memulakan solat jemaah, entah kuasa apa yang datang pada saya, saya merasai nikmat pengabadian kepadaNya bercampur dengan perasaan sayu. Rasa ini ibarat arus elektik. Ia jadi lebih bergetar sebaik imam membacakan Al-Fatihah. Ia begitu mengasyikkan!. Lenggok bacaanya saling tidak tumpah seperti alunan ayat-ayat suci al-Quran di Masjidil Haram, Mekah yang diperdengarkan oleh salah seorang imam di sana. Dalam sendu perlahan, saya memohon keampunan dan keredhaanNya. Saya merasakan kekuatan lebih dari biasa.Mengabdikan diri kepadaNya dengan rasa terkesan seperti ini tidak selalu hadir. Rasanya sangat mendalam.
Selesai membaca doa, saya menyapa jemaah tadi. Menggunakan bahasa inggeris, beliau menyatakan beliau berasal dari India dan mengikut suaminya bekerja sebgai pensyarah di sebuah universiti swasta berhampiran One Utama. Beliau bertutur bahasa inggeris dengan baik. Dan, apa yang menghibakan hati saya adalah kata-kata beliau yang saya terjemahkan dalam bahasa melayu.
Ketika mengerjakan Umrah tahun 2008- Pandangan dari tingkat atas Masjidil Haram |
" Tadi saya rasa kita sama-sama menangis. Suara imam tadi seperti imam Maher di Masjidil Haram. Saya rindu hendak ke sana lagi, Jika anda mengenali imam ini dan isterinya, mereka sangat baik. Saya selalu meminta suami untuk membawa saya berjemaah sekali di sini walaupun hanya satu waktu. Alhamdulillah, mudah-mudahan kita bersama akan dijemput menjadi tetamu Allah di sana sekali lagi.". Beliau bersalam sebelum pergi, sambil mengukir senyuman. Saya membalas senyuman, tetapi dalam hati ini ada satu perasaan lain. Ia menghibakan. Memandangkan kami hanya berdua menjadi jemaah wanita, tadi sebenarnya saya dapat mendengar dengan jelas suara tangisan perlahannya. Dan benar, bagai alunan suara imam dari Masjidil Haram, pimpinan bacaan imam tadi. Masuk dalam hati...sangat dalam kesannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan